Saturday, January 8, 2011

Masjid

Soalan :
i) Adalah lebih afdhal bersolat jemaah di masjid/surau yg lebih dekat dgn rumah kita. Adakah jika kita sengaja memilih sebuah masjid yg lebih jauh sedikit solat menjadi makruh/kurang pahala,etc?

Jawapan :
Setiap muslim bebas untuk pergi ke mana-mana masjid, walaupun masjid yang lebih jauh, sedangkan ada masjid yang lebih dekat dengan tempat tinggalnya. Dengan syarat, tidak menyebabkan jemaah di masjid dekat tergendala dengan ketiadaannya.

Malahan, berkemungkinan pergi ke masjid yang lebih jauh memberi pahala yang lebih banyak kerana Nabi SAW bersabda: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu suatu yang Allah ampunkan dosa dan mengangkat darjat dengannya?" Mereka berkata: "Ya, wahai Rasulullah". Sabdanya: "Menyempurnakan wudhu' ketika kepayahan, banyak melangkah ke masjid, dan menunggu solat selepas solat".
HR Muslim (no: 251).

rujukan:
http://www.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?lang=A&Id=32315&Option=FatwaId


Soalan :
ii) Ada orang kata tak boleh letup-letupkan sendi jari (knuckles 'krup krap' tuu) dgn sengaja dlm masjid sbb ia adalah satu bentuk zikir setan.


Jawapan :
Terdapat larangan menyilangkan jari-jari (tasybik) ketika menuju ke masjid, dan ketika berada di dalam masjid menunggu solat. Antaranya:

إِذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ فَأَحْسَنَ وُضُوءَهُ ثُمَّ خَرَجَ عَامِدًا إِلَى الْمَسْجِدِ فَلا يُشَبِّكَنَّ يَدَيْهِ ، فَإِنَّهُ فِي صَلاةٍ

Maksudnya:
Apabila salah seorang kamu berwudhuk dan menyempurnakan wudhuknya, kemudian keluar menuju ke masjid, janganlah menyilangkan dua tangannya. Sesungguhnya dia berada dalam solat.
HR: Abu Daud (no: 562) dan Tirmizi (no: 386). lihat Sahih Ibn Hibban (no: 2036).

Illah dilarang menyilangkan tangan atau jari2 ketika menunggu solat di dalam masjid, kerana seseorang yang sedang menunggu solat dikira sudah berada dalam solat, dan diberikan pahala. maka tidak elok melakukan perkara-perkara yang dikira sia-sia atau tidak layak dilakukan ketika solat.

Manakala, meletup-letupkan jari sehingga berbunyi juga, samalah hukumnya dengan menyilangkan tangan, kerana perbuatan tersebut tidak layak dilakukan ketika solat. Dinaskan oleh Imam Khattabi.

rujukan:
Maalim Sunan 1/295.

Mengatakan ia adalah satu bentuk zikir syaitan, kami tidak menemui nas tentangnya. Tetapi ada hadis menyebut, "Sesungguhnya menyilangkan tangan itu adalah daripada Syaitan". HR Ahmad (no: 11385) dan dinilai hasan oleh Haitami dalam Majmak Zawaid 2/139.

No comments: